Jumaat, Jun 26, 2009

Bersikap Positif Apabila Diuji

(Sumber Majallah Nur-Nov.2007)

Apabila diuji, kita barangkali akan ditimpa dua situasi, sama ada tambah bersemangat atau jatuh semangat. Syabas kepada yang mengambil kritikan secara positif. Dengan kata lain, kita berfikiran positif. Ini adalah suatu yang digalakkan Islam.
Rasulullah sendiri amat menyayangi umatnya yang berfikiran positif kerana itu merupakan ciri-ciri mukmin sejati. Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Apabila seorang mukmin itu beroleh kebaikan, dia terus memuji dan bersyukur kepada Allah. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun memuji Allah dan bersabar menghadapinya dan ini pun baginya. Seseorang mukmin akan tetap diberi pahala atas setiap amalan yang dilakukannya sehingga diberi pahala terhadap makanan yang disuapkan kedalam mulut isterinya."
(Riwayat Ahmad & Abu Daud)
Perkara baik dan buruk yang menimpa manusia adalah satu yang lumrah. Ini kerana perjalanan manusia di muka bumi tidaklah tetap dan sentiasa berubah. Namun bagi yang mengaku dirinya beriman, semua itu bukanlah sesuatu yang harus dikesali.
Allah berfirman yang bermaksud, "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar, iaitu orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka akan berkata, "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka ini adalah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.
(Surah Al-Baqarah: 155-157)

0 ulasan: