Isnin, Julai 06, 2009

Mencari Kekayaan

(Sumber Majallah Nur - Feb 2007)

Mencari kekayaan dunia bukan suatu perkara yang salah. Islam menganggap harta sebagai alat kehidupan yang boleh membantu manusia menyumbang semula untuk kesempurnaan ibadah dan masyarakatnya. Disebabkan itu, Islam sendiri memang menggalakkan umatnya bekerja mencari harta.
Allah berfirman yang bermaksud,
"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, berjalan di merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembalinya kamu sesudah) dibangkitkan semula. (Maka hargailah nikmat-Nya dan takutkanlah kemurkaan-Nya)
(Surah Al-Mulk ayar 15)
Harta dunia yang kita ada sekadar 'dipinjamkan` sahaja selamat kita hidup di muka bumi. Justeru kita digalakkan menggunakan kekayaan itu kearah kebaikan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud,
"Dan berikanlah kepada meraka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu"
(Surah An-Nur ayat 33)
Walaupun kekayaan yang penting kepada manusia, namun di sisi Allah, ia sama sekali tiada nilai apa-apa. Yang lebih dipandang Allah, tentu sahaja orang yang di dalam hatinya ada iman serta dihiasi akhlak terpuji, selain amalan yang ikhlas. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud,
"Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhan sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberikan harapan."
(Surah Al-Kahfi ayat 46)

0 ulasan: